Selasa, 28 April 2020

Akmal Rizal perkenal Nasi Arab AR14


MyMetroArena
Akmal Rizal raih pendapatan tambahan menerusi penjualan Nasi Arab AR14. FOTO Ihsan pembaca.
Izzali Ismail
sukan@hmetro.com.my


BEKAS bintang bola sepak negara dan Kedah Akmal Rizal Ahmad Rakhli kini fokus mempromosikan Nasi Arab AR14 di kawasan Jitra dan Kubang Pasu sepanjang ramadan dan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau yang juga Penolong Ketua Jurulatih skuad Pulau Pinang berusia 38 tahun berkata, penjualan Nasi Arab AR 14 secara dalam talian ini memberi rezeki tambahan buat dirinya dan keluarga.

"Sejak ramadan bermula Jumaat lalu, saya kini mula memperkenalkan jualan Nasi Arab AR14 di mana saya usahakan bersama sepupu saya di kawasan Jitra dan Kubang Pasu.

Nasi Arab resepi ayam ala Melayu ini berharga RM8 dan apa yang menariknya adalah menunya disertakan dengan air asam yang memang terbaik dan kuah dalca yang sudah menjadi kegemaran ramai.

"Nasi Arab ini dikenali sebagai Nasi Arab AR 14 yang mana ia sesuai dengan imej diri saya dalam dunia bola sepak dan melalui maklum balas daripada pelanggan, mereka cukup berpuas hati." kata Akmal Rizal yang memaklumkan, semua penghantaran dilakukannya bermula jam 4.30 petang di sekitar Jitra dan Kubang Pasu dan pihaknya juga boleh menguruskan penghantaran sekitar Alor Setar.

"Bagi pelanggan yang ingin membuat tempahan, mereka akan menghubungi saya melalui whatsapp atau laman Facebook dan Instagram sebelum 1 tengah hari".

"Selain Nasi Arab AR14 ini, saya juga akan memulakan penjualan dan penghantaran kuih raya bermula pada minggu kedua bulan ramadan ini."

"Ada 12 jenis kuih raya yang popular akan saya pasarkan melalui media sosial dan antaranya adalah Tat Nenas, Biskut Mazola dan banyak lagi kuih yang jarang orang buat, tapi saya akan menjualnya." katanya.

Menyentuh mengenai perkembangan semasa Liga Malaysia (Liga M) yang ditangguhkan akibat wabak pandemik Covid-19, Akmal Rizal berharap tempoh PKP yang sedang berlangsung ini akan segera menemui noktah apabila keadaan kembali selamat dan pada masa sama mendoakan kejayaan Malaysia dalam memerangi wabak bahaya ini.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 April 2020 @ 2:03 PM

Harap Liga M Kembali

MyMetroArena
Bekas pemain bola sepak kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli. FOTO Ihsan pembaca.
Izzali Ismail
sukan@hmetro.com.my
  
BEKAS bintang bola sepak kebangsaan yang kini Penolong Ketua Jurulatih Pulau Pinang, Akmal Rizal Ahmad Rakhli masih berharap Liga Malaysia (Liga M) dapat dimulakan semula pada tahun ini seandainya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan pada pertengahan tahun ini.

Akmal yang juga Pengulas Sukan Liga M berharap selepas tamatnya PKP dan keadaan kembali pulih dan selamat dari wabak Covid-19, satu-satunya peluang yang mungkin ada untuk Liga M kembali berjalan adalah hanya dengan aksi tanpa kehadiran penonton namun perlu ada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat.

"Sudah pasti SOP baharu yang ketat mengenai amalan kebersihan dan kesihatan perlu digariskan oleh pihak FAM dan MFL selepas mendapat arahan daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terlebih dahulu."

"Jika ini boleh dicadangkan, maka mungkin ada sinar harapan untuk Liga M kembali beraksi semula pada tahun ini walaupun sukar dan sekali gus mengelak dari berdepan isu gaji serta kontrak jutaan ringgit yang perlu dihadapi oleh persatuan negeri ataupun kelab yang mengendalikan pasukan."

"Saya percaya dikalangan pemain dan jurulatih masih mengharapkan perlawanan Liga M dapat dijalankan pada musim ini walaupun dimulai dengan aksi tanpa penyokong." katanya.

Akmal dalam masa yang sama turut melahirkan kerisauannya terhadap nasib kira-kira 1,500 pemain bola sepak dan juga jurulatih yang berhadapan risiko hilang kerja seandainya Liga M mahu dibatalkan terus pada musim ini seperti yang digambarkan melalui soal selidik media.

"Walaupun terpaksa menanti lebih lama bagi memastikan keadaan benar-benar selamat, kehadiran kembali Liga M adalah solusi yang ada dan mampu sekurang-kurangnya menyelamatkan kerugian besar yang terpaksa ditanggung banyak pihak dalam sejarah industri bola sepak negara."

"Jurulatih dan pemain masing-masing mencari rezeki dalam bidang bola sepak dan kalau dibatalkan terus pada tahun ini akan timbul persoalan berkaitan kontrak, gaji serta semua yang terbabit.

"Kalau diikutkan komen daripada orang ramai yang mengatakan gaji pemain kini tinggi, kita juga harus ingat bahawa pemain-pemain dari skuad Piala Presiden dan Piala Belia juga turut terkesan dan gaji mereka juga kecil dan bayangkan bagaimana dengan kesan pendapatan mereka yang diberhentikan sehingga menanti musim yang baharu pada tahun depan." katanya.

SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 April 2020 @ 1:55 PM

Sabtu, 25 Januari 2020

Cabaran cuaca sejuk di Korea

MyMetroArena
 
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my

CUACA sejuk hingga mencecah 1 darjah celsius bakal menghantui anak buah Aidil Sharin Sahak apabila Kedah turun berdepan FC Seoul dalam pusingan ketiga kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Piala Dunia Seoul di Seoul, Selasa ini.

Bekas pemain kebangsaan dan Kedah, Akmal Rizal Rakhli, yang mempunyai pengalaman luas beraksi bersama kelab di Eropah sebelum ini, akui cuaca sejuk akan memberi sedikit kesukaran.

"Berdasarkan pengalaman saya, apabila beraksi di bawah cuaca yang sejuk ia akan sedikit mengganggu rentak permainan kita sekiranya tak biasa dengan keadaan itu.

"Mungkin pemergian Kedah lebih awal akan memberi peluang buat pemain cuba membiasakan diri sebelum sepak mula Selasa ini," katanya ketika dihubungi.

Menerusi beberapa keping gambar dan status yang dimuat naik oleh Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) di platform media sosial mereka, skuad Helang Merah sudah berangkat ke Seoul hari ini sebagai persiapan awal untuk bertemu FC Seoul.

Akmal bagaimanapun percaya Kedah sudah melakukan persiapan rapi untuk menghadapi kempen kelayakan itu.

"Barisan pemain sudah melakukan terbaik ketika menentang kelab Hong Kong (Tai Po FC) di pusingan kedua sebelum ini.

"Sekiranya semangat dan corak permainan sama diulangi, tak mustahil Kedah akan mampu membuat kejutan di sana," katanya.

Kedah membenam Tai Po FC 5-1 di Stadium Darul Aman dan semakin hampir untuk bersaing di peringkat utama kumpulan ACL.

Untuk rekod, pada peringkat sama tahun lalu, wakil Malaysia iaitu Perak turut terkandas ketika menentang kelab Korea Selatan, Ulsan Hyundai juga dalam cuaca sejuk.

Ia menyaksikan skuad kendalian Mehmed Durakovic gagal memberi tentangan sengit hingga menyaksikan skuad The Bos Gaurus tewas 5-1.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 January 2020 @ 4:02 PM