ARKIB : 01/05/1999
PEMAIN Olimpik 2000, Akmal Rizal Ahmad Rakhli (kiri)
membawa bola sambil cuba dihalang pemain Vietnam, Nguyen Quoc Trung (terjatuh)
pada perlawanan Bola Sepak Empat Penjuru di Stadium Nasional, Bukit Jalil,
semalam. Olimpik 2000 menang 2-0. - Gambar AHMAD ZAKKI JILAN.
SKUAD Olimpik 2000 mempamerkan aksi hambar biarpun menang
2-0 ke atas Vietnam pada perlawanan terakhir Kejohanan Bola Sepak Empat Penjuru
di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam.
Skuad negara yang beraksi menentang Vietnam yang
bermain sepuluh orang hampir sepanjang babak kedua, gagal menghasilkan sebarang
gol pada babak pertama.
Anak buah Hatem Souissi itu hanya berjaya memecah
kebuntuan pada babak kedua selepas pemain Vietnam, Le Anh Dung dibuang padang
minit ke-56.
Penyerang negara, Khalid Jamlus menyumbat gol
pembukaan pada minit ke-60, gol ketiganya dalam kejohanan ini manakala pemain
pertahanan, M. Gopalan menjadikan kedudukan 2-0 menerusi tendangan penalti
minit ke-81.
Olimpik 2000 yang berusaha mengelak daripada menghuni
tangga tercorot kejohanan ini masih menghadapi masalah barisan depan walaupun
bahagian pertahanan agak kukuh.
Hatem kali ini menurunkan Yuzaiman Zahari di benteng
pertahanan mengisi posisi Nik Ahmad Fadli Nik Leh yang tidak diturunkan.
Begitu pun, skuad negara gagal mengajak Vietnam
mengikut rentak sebaliknya ''Tentera Ma'' lebih agresif tetapi barisan
pertahanan Olimpik berjaya menyekat setiap serangan.
Sebaliknya, barisan depan Olimpik masih gagal memecah
kebuntuan dengan gandingan penyerang, Akmal Rizal Rakhli dan Khalid Jamlus
sukar menemui sasaran.
Tidak banyak percubaan berbahaya dilakukan kedua-dua
pasukan pada sepanjang babak pertama kecuali satu tendangan kencang Akmal di
depan gawang pada minit ke-33 yang ditepis keluar penjaga gol Vietnam, Nguyen
Vu Dung.
Skuad negara berusaha memburu jaringan dan menguasai
babak kedua dengan melancarkan serangan tetapi masih gagal menemui sasaran.
Begitu pun, kepincangan Vietnam yang terpaksa bermain
sepuluh orang selepas pemain pertahanannya, Anh Dung dibuang padang kerana
mengasari Khalid, mengubah sedikit permainan.
Kesempatan itu digunakan sepenuhnya oleh skuad negara
untuk membuka jaringan empat minit selepas itu hasil tandukan Khalid yang
menyambar sepakan sudut Chow Chee Weng.
Pada minit ke-80, Jaafar Salleh yang di bawa masuk
menggantikan Yuzaiman yang tercedera, melarikan bola secara solo dan mengumpan
cantik kepada Chee Weng yang tidak dikawal tetapi penyerang itu dijatuhkan Vu
Dung dalam kotak penalti.
Pengadil perlawanan, Surdi Ismail dari Singapura
menghadiahkan sepakan penalti yang berjaya disempurnakan Gopalan.
Oleh: JOHARI SHAWAL
Tiada ulasan:
Catat Ulasan