ARKIB : 09/07/1999
JURULATIH negara, Abdul Rahman Ibrahim lebih memikirkan
masa depan bola sepak pemain Olimpik 2000, Akmal Rizal Rakhili daripada
terburu-buru menamakannya dalam senarai simpanan skuad kebangsaan.
Rahman menganggap, Akmal masih terlalu 'hijau' untuk
diserapkan dalam perancangannya bersama skuad negara bagi menghadapi Sukan SEA
XX Brunei, bulan depan.
Tujuh gol sumbangan Akmal sepanjang pusingan kelayakan
di Hong Kong dan Jepun lalu, belum cukup untuk mendorong Rahman yang tampak
mengutamakan tempoh pengalaman seseorang pemain.
''Enam rakan Olimpiknya lain disenaraikan kerana
mereka sudah empat tahun dalam pasukan itu. Akmal berbeza dan perjalanannya
masih jauh,'' kata Rahman sebelum berlepas ke Uzbekistan bersama skuad negara.
Kata Rahman, Akmal memang diakui menyerlah ketika
kelayakan itu tetapi mendedahkannya dengan aksi bertaraf lebih tinggi, bakal
mengundang padah.
''Akmal bagus bila bermain dengan lawan seusia dan
sebayanya. Namun kita perlu juga mengambil kira risiko jika dia terdedah dengan
pemain lawan yang jauh lebih besar,'' katanya.
Rahman ternyata bimbangkan sebarang musibah kecederaan
awal yang mampu memendekkan usia karier Akmal ketika mula mengukir nama.
Bekas jurulatih Terengganu itu sebaliknya memilih
Tengku Hazman Raja Hassan, Das Gregory Kolopis, Khalid Jamlus, M. Karunakaran,
M. Elangoo dan Megat Amir Faisal Ibrahim daripada skuad Olimpik 2000.
Sementara itu, Rahman bersama 20 pemain negara yang
berlepas ke Uzbekistan kelmarin, akan menentang pasukan kebangsaan di samping
kelab juara liga dan sebuah kelab ternama di sana sepanjang kunjungan selama 10
hari.
Skuad negara kemudiannya menyambung kunjungan ke
Myanmar untuk dua lagi perlawanan persahabatan di Yangon pada 18 dan 19 Julai
ini.
Oleh: ABDUL HAFIZ AHMAD
Tiada ulasan:
Catat Ulasan