MyMetroArena

Firdaus Hashim
firdaushashim@nstp.com.my
Kuala Lumpur : Bekas penyerang
Harimau Malaya, Akmal Rizal Ahmad Rakhli mencadangkan tonggak sayap negara,
Mohamadou Sumareh hanya dibawa masuk pada baki 30 minit terakhir dalam aksi
final kedua Piala AFF menentang Vietnam di Stadium My Dinh, Hanoi, malam esok.
Akmal, 37, yang juga bekas
penyerang kelab RC Strasbourg di liga utama Perancis itu berkata, perubahan
strategi berkenaan penting bagi mengelirukan pertahanan Vietnam yang sudah
bersiap sedia untuk merantai pergerakan Sumareh.
"Kalau tengok pada perlawanan
akhir pertama di Bukit Jalil, permainan kita sudah baik sebenarnya. Cuma
sedikit kelalaian di bahagian tengah menyaksikan Vietnam berjaya menghukum kita
dengan serangan pantas.
"Tapi kalau boleh perlawanan
di Hanoi nanti, saya harap Tan Cheng Hoe dapat turunkan Akhyar Rashid dan
Safawi Rasid dulu. Lepas 30 minit terakhir baru kita masukkan Sumareh kerana
tempoh itu mungkin pertahanan Vietnam sudah kepenatan.
"Di situlah kita boleh
gunakan kepantasan dan skil individu Sumareh untuk menewaskan pertahanan lawan,
sekali gus cuba menjaringkan gol atau mencipta jaringan buat rakan
sepasukan," katanya ketika dihubungi Sukan NSTP, hari ini.
Sebelum ini, skuad Harimau Malaya
berdepan laluan berliku untuk mengulangi pencapaian 2010 dengan menjulang trofi
Piala AFF buat kali kedua selepas terikat 2-2 dalam aksi final pertama di Bukit
Jalil, pada Selasa lalu.
Menerusi peraturan gol di tempat
lawan, skuad kendalian Park Hang Seo dilihat memiliki peluang cerah untuk
menjulang trofi berkenaan dengan hanya memerlukan keputusan seri tanpa jaringan
di Hanoi.
Justeru, anak buah Cheng Hoe
tiada pilihan lain selain mesti menang sekurang-kurangnya 1-0 untuk menamatkan
perlawanan dengan agregat 3-2 memihak Malaysia.
"Pada saya tidak ada yang
mustahil dalam bola sepak. Jika pemain fokus dan kekal disiplin, saya percaya
kemenangan boleh dicapai dan ia sudah dibuktikan ketika mereka menentang
Thailand (separuh akhir kedua) di Bangkok.
"Saya harap pemain akan
beraksi seperti biasa dan ikut perancangan jurulatih. Insya-Allah kemenangan
akan mengiringi kita," katanya yang pernah membuat penampilan Piala Tiger
(nama kejohanan dulu) pada 2002 dan membantu Malaysia menamatkan saingan di
tempat keempat.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada
: Jumaat, 14 Disember 2018 @ 4:17 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan