Oleh JOHARI SHAWAL
Pemain Norwich City, Matt Svensson (kanan) menanduk bola ke dalam
gawang Malaysia walaupun cuba dihalang pemain negara, Wan Rohaimi Wan Ismail
dan penjaga gol, Mohd. Samsuri Mustafa (kiri) untuk gol kemenangan pasukannya
dalam pertemuan persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.
|
Tandukan mudah penyerang
Sweden, Matt Svensson memberikan kemenangan tipis 1-0 Norwich City ke atas
Malaysia dalam aksi bola sepak persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil,
semalam.
Gol tunggal perlawanan yang
dihasilkan pada minit ke-34 itu cukup memberikan kelegaan buat pasukan
bimbingan Nigel Worthington yang sedang melakukan persiapan terakhir menjelang
bermulanya Liga Perdana England bulan depan.
Keputusan itu sebaliknya
kurang menceriakan Allan Harris yang bakal meninggalkan pasukan negara dengan kekalahan
sebelum digantikan jurulatih baru dari Hungary, Bicskei Bertalan selepas ini.
Aksi awal babak pertama kurang
menghiburkan dengan kedua-dua pasukan bermain terlalu berhati-hati.
Begitu pun Malaysia lebih dulu
memulakan serangan bahaya dengan penyerang negara, Akmal Rizal Rakhli membuat
percubaan leret dari luar kotak penalti tetapi sepakannya agak lemah dan
tersasar di sebelah kanan pintu gol lawan.
Pasukan pelawat yang pada
mulanya hanya bertahan dan sekali sekala melancarkan serangan, mudah dipatahkan
barisan pertahanan negara yang diketuai Norhafiz Zamani Misbah dan Khaironissam
Sahabuddin.
Namun dalam kelekaan skuad
negara mencari gol awal, mereka akhirnya dihukum dengan jaringan pembukaan
Norwich City pada minit ke-34 apabila bola hantaran lintang Jim Brennan
ditanduk mudah Svensson ke penjuru sebelah kiri yang mengenai tiang gol sebelum
menerjah jaring.
Pasukan bimbingan terakhir
Allan Harris tampak bersemangat sebaik memulakan babak kedua dalam usaha
mencari gol penyamaan.
Ini menyaksikan lima percubaan
menarik dilakukan skuad negara yang memaksa pertahanan Norwich bekerja keras.
Antaranya peluang yang
diperoleh Akmal pada minit ke-46 tetapi sepakan percuma yang diambilnya mudah
dibaca penjaga gol lawan, Robert Green.
Pemain sayap kiri, Irwan Fadli
Idrus pula melakukan sepakan terus dari luar kotak penalti seminit selepas itu
tetapi bola melepasi palang gol.
Fadzli Shaari juga berpeluang
menyamakan kedudukan tetapi tandukannya hasil sepakan percuma Rosdi Talib pada
minit ke-50 tersasar sedikit di sebelah kanan gawang Norwich
sumberArtikel
Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0718&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4fAcu8hG1
© Utusan Melayu
(M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan