ARKIB : 24/11/2010
Oleh YATIMIN ABDULLAH
utusankelantan@utusan.com.my

Akmal Rizal yang membantu
Kelantan memenangi Piala Malaysia musim ini, menyertai Perak musim depan kerana
mahukan cabaran baru serta membuktikan sentuhannya masih berbisa.
KOTA BHARU - Kelantan kehilangan
penggempur berbisa Akmal Rizal Ahmad Rakhli, apabila pemain berusia 29 tahun
itu mengesahkan dia akan menyarung jersi Perak, musim depan.
Akmal Rizal, yang membantu Red
Warriors muncul juara Piala Malaysia buat kali pertama baru-baru ini, mengakui
dia akan menyertai skuad Seladang dengan kontrak dua tahun.
Menurutnya, dia sudah pun
menandatangani perjanjian dengan Perak, yang kini dikendalikan bekas jurulatih
kebangsaan, Kelantan, Norizan Bakar.
"Begitupun, saya belum
menandatangani sepenuhnya kontrak tersebut. Kontrak saya bersama Kelantan akan
tamat hujung bulan ini, jadi saya perlu menghormati baki kontrak tersebut.
"Walaupun hanya semusim
bersama Red Warriors, saya gembira kerana dapat menjalankan tugas sebagai
seorang pemain dengan baik, membantu Kelantan muncul juara Piala
Malaysia," katanya ketika dihubungi, semalam.
Tambahnya, kejayaan membantu
Kelantan muncul juara Piala Malaysia amat bermakna sepanjang bergelar pemain
profesional.
Ditanya mengapa beliau memilih
Perak, Akmal Rizal memberitahu dia mahu mencuba sesuatu yang baru bersama skuad
tersebut.
"Sebagai pemain profesional,
saya inginkan cabaran dan membuktikan sentuhan saya masih berbisa.
"Kejayaan membantu Kelantan
pastinya mahu diulangi apabila mewakili pasukan Perak musim hadapan,"
ujarnya.
Tambahnya, sebelum meninggalkan
Kedah pada 2006, dia sememangnya bercita-cita untuk menyertai banyak pasukan.
Jelasnya, dia mungkin akan
beraksi untuk tiga atau empat tahun lagi sebelum bersara.
Sepanjang bersama Red Warriors,
bekas pemain kebangsaan itu menjaringkan sembilan gol, iaitu tiga pada saingan
Liga Super dan enam gol pada Piala Malaysia.
Akmal Rizal pernah beraksi
bersama beberapa pasukan termasuk Kedah (2001-2006), Selangor (2007- 2008) dan
Kuala Muda NAZA (2009), juga kelab luar negara iaitu Strasborg di Perancis
selama dua tahun.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1124&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz5d3fVvwxg
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan