ARKIB : 27/10/2008
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD

Safee Sali (tengah) sering
mendapat kepercayaan B. Sathianathan dalam perancangan barisan terbaik skuad
negara namun jurulatih negara itu turut menagih keringat Akmal Rizal Ahmad
Rakhli untuk kejohanan Piala AFF di Thailand, Disember ini.
- Gambar SHAIFUDIN MOHD. NOR
KUALA LUMPUR - Nama penyerang
Kuala Muda Naza, Akmal Rizal Ahmad Rakhli tiba-tiba meniti bibir jurulatih
negara, B. Sathianathan sekalipun anak buahnya mengumpul 18 gol menerusi
jaringan pelbagai pemain sepanjang Pestabola Merdeka Ke-40 yang berakhir kelmarin.
Bukan bererti dia masih kecewa
dengan sentuhan gandingan senior dan muda yang cuma bergelar naib juara
Pestabola tetapi di mata jurulatih ini yang menerajui pasukan sejak Ogos tahun
lalu, Akmal masih antara penyerang terbaik di Malaysia selain Safee Sali -
penyumbang lima gol kejohanan bola sepak jemputan itu.
"Bagi saya, Akmal masih
penyerang terbaik negara selain Safee. Cuma kecederaan lama yang berulang,
menghalang saya daripada memilihnya. Dia mungkin mampu menyelesaikan ketumpulan
penyudah kita seperti menentang Vietnam (kalah penalti 6-5 selepas terikat 0-0
masa tambahan.
"Kita sepatutnya lebih
tajam dalam perlawanan itu tetapi banyak umpanan lintang yang tidak menjadi.
Memasukkan Hairuddin Omar sebagai penyerang gantian untuk menyambar umpanan di
udara juga masih tidak berkesan," katanya pada sidang akhbar di Stadium
Nasional, Bukit Jalil selepas perlawanan akhir kelmarin.
Kali terakhir Akmal menyarung
jersi negara di bawah Sathianathan ialah dalam perlawanan persahabatan
menentang Indonesia di Surabaya yang berkesudahan seri 1-1 pada 6 Jun lalu
namun dia tidak berada dalam kesebelasan utama malah cuma bermain beberapa
minit sebagai penyerang gantian.
Sepanjang Pestabola, Malaysia
membolosi gawang Nepal 4-0, Sierra Leone 4-0, Afghanistan 6-0 dan Myanmar 4-0
menerusi Safee, Indra Putra Mahayuddin, Ashaari Shamsuddin, Amirulhadi Zainal,
Hairuddin Omar, Khyril Muhymeen Zambri, Zaquan Adha Radzak, Aidil Zafuan Radzak
dan Nizarudin Yusop.
Bagaimanapun sentuhan barisan
depan negara sentiasa dihampakan oleh ketumpulan penyudah, kekangan kemas
benteng Vietnam dan hadangan baik penjaga golnya, Bui Tan Truong yang turut
menafikan sepakan penentuan penalti keenam oleh Norhafiz Zamani Misbah.
Tiga pertukaran barisan depan
oleh skuad negara untuk membawa masuk Hairuddin, Khyril dan Ashaari ke tempat
Zaquan, Amirulhadi dan Hardi Jaafar kelmarin juga masih gagal menjinakkan
pasukan pelawat yang mengandungi pemain bawah 22 tahun dan cuma dipersiapkan ke
Sukan SEA Laos 2009.
Secara keseluruhan,
Sathianathan bagaimanapun tetap berpuas hati dengan prestasi dalam lima
perlawanan antarabangsa sepanjang Pestabola yang mampu menyediakan anak buahnya
menghadapi misi kemuncak Piala Suzuki AFF Kumpulan B di Thailand dari 5 hingga
28 Disember ini.
Kelmarin keputusan terakhir
pusingan kelayakan Piala Suzuki AFF menempatkan juaranya, Laos sebagai anggota
pelengkap Kumpulan B dengan Thailand, Malaysia dan Vietnam manakala Kemboja
selaku naib juara, membentuk Kumpulan A di Indonesia dengan tuan rumah;
Singapura dan Myanmar.
Secara kebetulan, Laos juga
menjadi lawan sulung Malaysia dalam Piala Suzuki atau dulunya Piala Tiger dan
Kejohanan AFF (Persekutuan Bola Sepak ASEAN) pada 6 Disember ini, diikuti
Vietnam (8 Disember) dan Thailand (10 Disember) manakala perlawanan separuh
akhir dan akhir dijalankan secara timbal balik di negara yang layak.
"Skuad negara akan kembali
berlatih 2 November ini dan mungkin bertemu semula Vietnam dan Myanmar dalam
Piala Cabaran Grand Royal di Myanmar dari 6 hingga 15 November ini,"
katanya yang turut mahu menilai kemampuan Titus James Palani sekembalinya
penyerang itu ke tanah air dari Perancis.
"Saya masih cuba membuka
peluang kepada Titus sehingga akhir bulan ini. Jika dia sempat tiba, saya akan
bawa dia ke Piala Cabaran Grand Royal tetapi bukan bererti tempatnya sudah
terjamin. Dia masih perlu bersaing dengan pemain lain sebelum saya senaraikan
dia ke Piala Suzuki AFF," katanya.
Selepas menamatkan pengajian di
sekolah bola sepak Le Havre, Titus, 22, dikatakan cuba menyertai beberapa kelab
profesional Perancis antaranya Villenoy, Meaux dan Marseille Endoume malah dia
pernah dipanggil oleh jurulatih negara ketika itu, Bertalan Bicskei tetapi
tidak terpilih ke Sukan SEA Filipina 2005.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1027&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz511dwmMuC
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan