Khamis, 30 November 2017

Selangor tanpa Akmal Rizal

ARKIB : 21/08/2008
 
Akmal Rizal

KUALA LUMPUR – Malang, seribu kali malang buat penyerang Selangor, Akmal Rizal Ahmad Rakhli apabila terpaksa melupakan perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia menentang Kedah, Sabtu ini gara-gara kecederaan lama lutut kanannya yang berulang.

Sudahlah kempunan menjulang Piala FA, Mei lalu dan hanya mampu memanaskan bangku simpanan, aksi di Stadium Nasional, Bukit Jalil ini pula sekadar dapat ditontonnya sebagai pemerhati dari luar padang apatah lagi dengan menentang negeri kelahirannya.

“Cukup hampa kerana sepatutnya inilah perlawanan akhir Piala Malaysia pertama saya setelah tidak berpeluang turun ketika Selangor kalah Piala FA. Saya tercedera sejak separuh akhir pertama di Shah Alam lalu,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Menurut Akmal Rizal yang kerap turun selaku penyerang gantian minit akhir dengan berjersi nombor 14 Gergasi Merah, pemeriksaan perubatan mendapati kecederaan pada bahagian yang pernah dibedah itu memerlukan pemulihan selama dua minggu lagi.

“Walaupun tidak dapat bermain, saya tetap mendoakan kejayaan buat pasukan Selangor kerana sebagai pemain simpanan pun, saya tetap akan beroleh pingat kejuaraan jika kami menewaskan Kedah,” katanya yang masih menjalani senaman ringan di gimnasium.

Mengenai pertembungan bagi edisi pertandingan ke-82 ini, katanya, “peluangnya 50-50 kepada kedua-dua pasukan. Tiada kelebihan gelanggang sendiri walaupun Selangor lebih dekat dengan Bukit Jalil malah ketika Piala FA di Shah Alam, Kedah memiliki sejumlah besar penyokongnya.

“Saya ramalkan 90 minit perlawanan ini sudah cukup menentukan siapa juara,” katanya yang menyedari ketiadaannya di padang pasti dialu-alukan penyokong Hijau Kuning yang lantang mengejeknya ketika menentang Selangor di Stadium Shah Alam dalam perlawanan Liga Super musim ini.

“Itu lumrah peminat bola sepak. Mereka mungkin tidak faham bukan saya yang tinggalkan atau membelakangkan Kedah tetapi kontrak saya yang ditamatkan dan sebagai pemain profesional, saya perlu mencari haluan baru karier saya,” kata anak jati Jitra, Kedah ini yang menyertai Selangor mulai musim 2006-2007.

Sepanjang Liga Malaysia musim ini, Akmal Rizal yang kali terakhir mewakili skuad negara menentang Indonesia di Surabaya, Jun lalu, telah menjaringkan 10 gol iaitu lima bagi Liga Super, tiga dalam Piala FA dan hanya dua ketika Piala Malaysia yang bermula pada 11 Jun lalu.

Namun skuad Merah Kuning masih tidak ketandusan penyerang selain Frank Seator dan Safee Sali dalam kesebelasan utama kerana S. Sritharan, Fadzli Saari, Indra Putra Mahayuddin dan R. Surendren mahupun Amri Yahyah mampu merobek gawang Kedah kawalan Helmi Eliza Elias.

Kongsi Konten di :
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0821&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4zuDLXTkJ
© Utusan Melayu (M) Bhd


Ahad, 26 November 2017

Persahabatan : Malaysia hanya mampu seri dengan Indonesia

 ARKIB : 08/06/2008
KUALA LUMPUR - Ketumpulan penyudah jelas mencengkam skuad negara di sebalik menguasai permainan dan mencipta lebih banyak peluang pada perlawanan bola sepak persahabatan antarabangsa menentang Indonesia di Surabaya, kelmarin.

Empat penyerang negara yang turun ke Stadium Gelora 10 November, Tambaksari, Surabaya itu sepatutnya mampu menukar keputusan 1-1 untuk menyebelahi mereka tetapi gagal menggunakan deretan peluang keemasan terutama dalam situasi satu sama satu.

Gandingan Safee Sali-Zaquan Adha Radzak yang membarisi kesebelasan utama sebelum digantikan oleh Akmal Rizal Rakhli-Nizaruddin Yusof boleh dikatakan gagal dalam eksperimen jurulatih negara, B. Sathianathan itu sebagai persediaan ke Kejohanan AFF, Disember ini.

Hanya tandukan gol pemain tengah, Shukor Adan hasil sepakan sudut Hardi Jaafar pada minit ke-32 menjadi penawar dan penyelamat Malaysia yang ketinggalan dengan jaringan penalti tuan rumah yang meragukan daripada Bambang Pamungkas, tujuh minit sebelumnya.

Sathianathan berkata kepada Utusan Malaysia, “kami mendapat lebih banyak peluang terbuka untuk menjaringkan gol tetapi saya tetap berpuas hati kerana kami hampir menang jika masalah penyudah pemain terutama ketika satu sama satu, dapat diatasi.

“Saya juga menggunakan formasi berbeza yang menampilkan ramai pemain senior,” katanya yang kurang senang dengan pemberian penalti kepada tuan rumah kerana bek tengah negara, Aidil Zafuan Radzak mudah dipersalahkan walaupun tidak menyentuh Bambang.

Malaysia: Helmi Eliza Elias, Norhafiz Zamani Misbah, Aidil Zafuan Radzak, Irwan Fadly Idrus (S. Subramaniam), Daudsu Jamaludin, Shukor Adan (K. Soley), Hardi Jaafar (Azi Shahril Azmi), Indra Putra Mahayuddin, Amirulhadi Zainal (Khyril Muhymeen Zambri), Zaquan Adha Radzak (Nizaruddin Yusof), Safee Sali (Akmal Rizal Rakhli).
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0608&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_09.htm#ixzz4za637j9r

© Utusan Melayu (M) Bhd

Peluang cerah untuk Kit Kong

ARKIB : 30/05/2008

pasukan Malaysia memerlukan satu lagi perlawanan ujian lain sebelum ke Surabaya, Indonesia bagi perlawanan persahabatan antarabangsa 6 Jun ini ekoran dikatakan kurang agresif.

PETALING JAYA - Penyerang Kuala Muda Naza, Liew Kit Kong memiliki peluang cerah untuk kembali menyarung jersi negara buat kali pertama sejak 2005, apabila Malaysia menentang Indonesia dalam perlawanan persahabatan antarabangsa di Surabaya, 6 Jun ini, lapor ABDUL HAFIZ AHMAD.

Dua jaringannya ketika skuad negara membelasah Polis 7-0 dalam perlawanan pemanas badan di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam, tampak semakin meyakinkan ketua jurulatih B. Sathianathan untuk menyenaraikannya bersama skuad 20 pemain terbaik ke sana.

Penjaring dua gol ke atas Indonesia pada separuh akhir Piala Tiger 2004 di Jakarta itu turut memanfaatkan kesempatan lebih 45 minit dalam membuktikan sentuhannya lebih berbisa di kalangan tonggak depan senior lain seperti Akmal Rizal Rakhli, Indra Putra Mahayuddin dan Nizaruddin Yusof.

"Saya masih cuba bersaing merebut tempat dan sukar memastikan sama ada boleh mencapai tahap antarabangsa setelah kali terakhir bermain pada Sukan Perpaduan Islam di Jeddah 2005," katanya.

Lima lagi gol dijaring oleh Chun Keng Hong, Azi Shahril Azmi, Akmal, Hardi Jaafar dan Aidil Zafuan Radzak ketika ramai tonggak skuad Piala Antara Benua, minggu lalu seperti Safee Sali, Shukor Adan, Norhafiz Zamani Misbah dan Khyril Muhymeen Zambri direhatkan bagi memberi peluang kepada kebanyakan tonggak senior.

Antara mereka ialah penjaga gol Helmi Eliza Elias, bek kiri - Irwan Fadly Idrus, P. Gunalan, bek kanan - Juzaili Samion, sayap kanan - Eddy Helmi Manan dan K. Soley yang belum pernah beraksi di bawah bimbingan Sathianathan yang mula menerajui skuad negara sejak Ogos 2007.

Turut menonjol semalam ialah penjaga gol gantian, Badrul Zaman Halim dari kelab Liga Perdana, PKNS yang mungkin mampu mencipta kejutan untuk disenaraikan ke skuad negara kali pertama ketika bersaing dengan Helmi dan pemain Shahzan Muda, Farizal Marlias.

Sathianathan bagaimanapun beranggapan bahawa barisan negara masih kurang agresif menjelang menentang Indonesia apatah lagi ketandusan lawan yang benar-benar mampu menguji anak buahnya sama ada di peringkat Liga Malaysia mahupun luar negara selain Polis.

"Saya masih cuba mencari satu lagi perlawanan selewat-lewatnya 3 Jun ini," katanya
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0530&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4zWnvp357

© Utusan Melayu (M) Bhd

Rabu, 22 November 2017

Akmal tidak kisah digelar supersub


ARKIB : 21/04/2008

KUALA LUMPUR - Apa yang terbaik untuk Selangor dari kaca mata jurulatihnya, Dollah Salleh sudah pasti turut mewakili yang terbaik bagi penyerang Akmal Rizal Ahmad Rakhli sekalipun dia sekadar diberi peranan sebagai supersub (pilihan kedua) kebelakangan ini.

Bekas penyerang kelahiran Jitra, Kedah itu juga tidak kisah dengan sebarang peranan atau gelaran buatnya kerana dia sudah melakukan yang terbaik untuk meningkatkan mutu permainan dan kecergasan sepanjang aksi Liga Super dan Piala FA serta sesi latihan musim 2007-2008 ini.

Katanya kepada Utusan Malaysia, semalam: "Jika jurulatih (Dollah) yakin dengan meletakkan Frank Seator dan Safee Sali sebagai pilihan terbaik di barisan depan buat Selangor, saya tiada masalah untuk menerimanya. Akhirnya yang penting ialah pasukan yang mencapai kejayaan.

"Lagipun saya pernah bermain dalam kesebelasan utama dalam tujuh atau lapan kali musim ini (apabila salah seorang digantung permainan atau tercedera)," kata bekas pemain yang pernah mewakili FC Haguenau, kelab bahagian empat Liga Perancis ini.

Malah di sebalik cuma bermula dari bangku simpanan atau kerap digelar 'Pemain 10 Minit Terakhir', Akmal tetap mampu menyumbat lapan gol dengan lima dalam Liga Super dan tiga gol bagi Piala FA - satu pencapaian yang turut menyaingi catatan Safee dan Seator, kelahiran Liberia.

Akmal turut membantu menggegar gawang Sarawak di Stadium Shah Alam ketika Merah Kuning menang 4-1, kelmarin dan bapa dua anak ini menagih sentuhan yang sama berulang apabila melayani Kuala Muda dalam suku akhir kedua Piala FA di gelanggang sama, esok.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0421&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4z9fcfPdM
© Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 19 November 2017

Piala FA - Selangor dimalukan kelab Liga Perdana

ARKIB : 09/04/2008
 
Pemain Selangor Akmal Rizal Rakhli (kanan) diasak oleh pemain Kuala Muda Naza dalam perlawanan Piala FA di Stadium Darul Aman, Alor Star semalam.– Gambar ISMAIL KAMADIN

KUALA LUMPUR – Juara empat kali, Selangor dimalukan kelab Liga Perdana, Kuala Muda NAZA apabila tewas 0-1 pada perlawanan suku akhir pertama Piala FA di Stadium Darul Aman, semalam.

Pasukan Merah Kuning itu terpaksa menerima hakikat tunduk kepada jaringan tunggal perlawanan menerusi Farderin Kadir pada minit ke-48.

Ternyata status Selangor selaku juara 1991, 1997, 2001 dan 2005 di samping pasukan di tangga kedua Liga Super ketika ini langsung tidak menggerunkan Kuala Muda NAZA.

Sebaliknya beraksi di gelanggang sendiri menyuntik semangat Kuala Muda NAZA untuk sekurang-kurangnya membawa bekalan agak baik menjelang suku akhir kedua di Stadium Shah Alam pada 22 April ini.

Juara bertahan, Kedah pula seperti dijangka tidak menghadapi masalah untuk menewaskan Melaka 4-1 pada perlawanan di Stadium Hang Tuah.

Gol-gol pasukan pelawat dijaringkan Sabri Abu (m-15), Marlon Alex James (m-48, pen-77) dan Mohd. Fadly Baharom.

Pahang juga memperoleh bekalan selesa apabila menewaskan Sabah 3-1 pada perlawanan di Stadium Darul Makmur.

Sabah bagaimanapun lebih dulu membuka jaringan menerusi Bobby Gonzales (m-23) sebelum Norhafiz Zamani Misbah (m-33), Tarek El Janaby (pen-65) dan Hairuddin Omar (m-79).

Satu lagi perlawanan menyaksikan Terengganu turut mencatat kemenangan selesa 3-1 ke atas Felda United pada perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Pasukan tuan rumah mudah mendahului 3-0 menerusi jaringan sendiri Farouk Hashim (m-11) diikuti gol Che Hishamuddin Hassan (m-33) dan Fabior Flor (m-49).

Hanya selepas Terengganu memperlahankan rentak permainan, Felda United berpeluang memperoleh gol saguhati menerusi Badrol Afzan Razali (m-66)

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0409&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4yrdR9fEO
© Utusan Melayu (M) Bhd