Jumaat, 13 Oktober 2017

Azraai, Akmal turut dicalonkan



ARKIB : 25/08/2007

KUALA LUMPUR – Jurulatih Kedah yang menjulang Piala FA dan gelaran Liga Super baru-baru ini, Azraai Khor Abdullah dan dua penyerang Selangor, Akmal Rizal Rakhli dan Safee Sali merupakan antara lima calon yang disenarai pendek dalam Anugerah Bola Sepak Negara Liga Malaysia, 9 September ini.

Azraai yang menjadi pilihan hangat sebagai calon ketua jurulatih skuad negara, akan berentap dengan rakan sejawatannya dari Terengganu, Yunus Aliff selain Steve Darby dari Perak, Azuan Zain (Johor-Pasir Gudang) dan K. Thaiyanathan (Polis) bagi kategori Jurulatih Paling Popular.

Dalam kategori Penyerang Paling Popular, Akmal dan Safee pula akan dicabar oleh penjaring terbanyak di kalangan pemain tempatan dalam Liga Super dengan 15 gol, Khalid Jamlus dari Perak selain Cik Hishammudin Hassan (Terengganu) dan Hasmawi Hassan (Kedah).

Penjaring terbanyak Liga Super, Keita Mandjou (Perak) dengan 21 gol pula dicalonkan untuk merebut anugerah Pemain Asing Terbaik dengan pencabarnya ialah Phillimon Chipeta (Perlis), Marlon Alex James (Ked), Walter Ariel Silva (Johor FC) dan Marin Mikac (UPB-MyTeam).

Turut dipertandingkan ialah kategori Penjaga Gol, Pemain Pertahanan dan Pemain Tengah Paling Popular, Pemain Tempatan Terbaik dan Bintang Baru Terbaik yang antaranya direbut oleh Nasril Nourdin dari Perak yang beraksi pada Pestabola Merdeka ketika ini dan Helmi Eliza Elias (Kedah).

Calon lain termasuk ketua pasukan negara, Kaironnisam Shahabudin Hussain (UPB-MyTeam), Hardi Jaafar (Telekom), Azlan Ismail (Perlis), Ahmad Shahrul Azhar Sofian (Perak), Shukor Adan (Selangor), Nor Farhan Muhammad (Terengganu), Aidil Zafuan Radzak dan Zaquan Adha Radzak (Negeri Sembilan).

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0825&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4vRK41800
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan