ARKIB : 26/06/2007
Oleh Abdul Hafiz Ahmad
KUALA LUMPUR Skuad negara
boleh menarik nafas lega apabila penyerang utamanya, Akmal Rizal Rakhli
disahkan tidak mengalami kecederaan lutut kanan yang teruk sekali gus
berpeluang beraksi pada pusingan akhir bola sepak Piala Asia, bulan depan.
Setiausaha Agung Persatuan Bola
Sepak Selangor (FAS), Hamidin Amin berkata, pemeriksaan pengimbasan gema
magnetik (MRI) oleh doktor di Pusat Perubatan Kelana Jaya mengesahkan status
kecederaan Akmal itu, semalam.
Laporan doktor mengesahkan
kecederaan ringan itu tidak akan menjejaskan peluangnya ke Piala Asia tetapi
dia dinasihatkan berehat antara beberapa hari sebelum kembali ke padang,
katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Menurut Hamidin, FAS telah
memaklumkan ketua jurulatih negara, Norizan Bakar berhubung perkembangan
terbaru Akmal yang bagaimanapun menghalangnya daripada turun menentang Jamaica
dalam perlawanan persahabatan, Khamis ini.
Akmal Rizal diusung keluar
padang sekali gus mencetuskan kebimbangan skuad negara selepas bertembung
dengan penjaga gol Kedah, Helmi Eliza Elias sehingga tercedera lutut kanan pada
separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Shah Alam, Sabtu lalu.
Kata Hamidin, FAS sebenarnya
berusaha keras untuk memastikan pemain kelahiran Jitra, Kedah itu dapat ke
Piala Asia sejurus selepas pertembungan itu dengan mengejarkannya ke pusat
perubatan tercanggih di Kelana Jaya, Petaling Jaya, Selangor.
Bukan sahaja demi Selangor
bahkan Malaysia, kami mengusahakan supaya kecederaan Akmal diperiksa dengan
X-ray yang mendapati tiada keretakan tulang malah kami meneruskan MRI pula bagi
kepastian biarpun ketika itu dia didapati sudah boleh berjalan, kata beliau.
Menurutnya, FAS sudah melakukan
yang terbaik untuk Akmal kerana memikul tanggungjawab kepada negara tetapi kini
terserah kepada Norizan dan pegawai perubatan skuad negara untuk memutuskan
bilakah penyerang Gergasi Merah itu dibenarkan berlatih atau bermain.
Kata Hamidin, FAS tidak pernah
berniat untuk membelakangkan kepentingan negara ketika menggunakan khidmat
Akmal bagi menghadapi Piala FA apatah lagi soal itu sendiri telah diputuskan
oleh FAM pada sesi lampas minda di Kuching Mac lalu.
Sesi itu memutuskan bahawa
mana-mana pemain negara ke Piala Asia, boleh dilepaskan semula ke pasukan mereka
jika tiada perlawanan skuad negara atau tidak berlatih di luar negara,
katanya.
Skuad negara bakal ke Piala
Asia dengan mengharungi perlawanan pertama Kumpulan C pada 10 Julai ini yang
turut mengandungi bekas juara tiga kali, Iran; naib juara 2004, China dan
Uzbekistan yang mara ke suku akhir edisi lalu.
Ketika ini kem negara memiliki
empat lagi penyerang dalam senarai 23 pemain utama iaitu Indra Putra Mahyuddin,
Hairuddin Omar, Safee Sali dan Fadzli Shaari serta seorang simpanan, Khyril
Muhymeen Zambri.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0626&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4uAbopL1v
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan