ARKIB : 24/02/2006
ALOR STAR - Persatuan Bola
Sepak Kedah (KFA) bersedia melepaskan ayam tambatannya, Akmal Rizal Rakhli bagi
membolehkan bekas penyerang kebangsaan itu mencari haluannya sendiri untuk
beraksi dengan kelab di luar negara.
Meskipun keputusan itu `berat'
untuk dilakukan namun KFA tetap akur dengan kehendak Persatuan Bola Sepak
Malaysia (FAM) yang mengesahkan pemain licik itu gagal melepasi ujian
kecergasan (cooper test) yang ditetapkan.
Pengurus pasukan Kedah, Datuk
Paduka Ahmad Basri Akil berkata, pihaknya telah berbincang dengan Akmal Rizal
untuk mendapatkan kepastian berhubung perkara tersebut semalam.
Hasil perbincangan itu,
katanya, KFA bersetuju membebaskan Akmal Rizal kerana menganggap pemain
tersebut tidak mempunyai masa depan yang cerah dalam negara sendiri gara-gara
keputusan FAM tersebut.
``Mengikut piawaian Persekutuan
Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), seseorang pemain dianggap berjaya dalam ujian
kecergasan selepas berlari melepasi 2,800 meter dalam tempoh yang ditetapkan
tetapi FAM pula menetapkan pada jarak 3,000 meter.
``Kita kesal kerana FAM tidak
mengikut piawaian FIFA dan sekali gus boleh memusnahkan masa depan Akmal Rizal
yang baru pulih daripada pembedahan lutut,'' katanya kepada pemberita di
pejabatnya di sini semalam.
Beliau mengulas permintaan
Akmal Rizal kelmarin supaya KFA membebaskannya bagi membolehkannya beraksi di
kelab luar negara selepas tawaran dari Singapura terpaksa dilupakan kerana
masih mengikat kontrak dengan KFA.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0224&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4kn4lMgdp
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan