Jumaat, 5 Mei 2017

Beri Hasmawi peluang - Akmal

ARKIB : 23/12/2004

RAKAN sepasukan Hasmawi Hassan, Akmal Rizal Rakhli berharap Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) memberi peluang kepada penyerang muda itu membela diri sebelum membuat keputusan menggugurkannya.
Akmal yang terkejut dengan laporan KFA menggugurkan Hasmawi kelmarin selepas pemain itu membatalkan pernikahan dengan tunangnya, Norlida Abdul Rahman, 23, melalui SMS baru-baru ini berkata, masalah Hasmawi bersifat peribadi.
Lagipun katanya, masalah yang dicetuskan pemain berusia 23 tahun itu tidak melibatkan disiplin dalam pasukan apatah lagi ia berlaku ketika rehat Liga Bola Sepak Malaysia.
``Kedah bakal kehilangan seorang pemain muda berbakat yang sedang meningkat naik.
``Hasmawi seorang pemain yang berdisiplin dan saya menyokong penuh supaya terus kekal.
``Saya berharap PFA meneliti semula keputusan tersebut yang pada pandangan saya dibuat secara tergesa-gesa tanpa memberi peluang Hasmawi menerangkan perkara yang sebenar.
``Sedangkan pada saya masalah tersebut boleh diselesaikan kedua-dua pihak menerusi perbincangan,'' katanya ketika dihubungi semalam.
Kelmarin Timbalan Presiden KFA, Datuk Chong Itt Chew berkata pihaknya setuju sebulat suara menamatkan kontrak penyerang itu sebagai amaran kepada pemain lain bahawa KFA tidak bertolak ansur sekali pun membabitkan soal peribadi jika ia boleh menjejaskan imej pasukan.
Keputusan diambil setelah Hasmawi membatalkan pernikahan dengan tunangnya menerusi SMS Norlida, 19 jam sebelum majlis pernikahan mereka Sabtu lalu.
KFA akan mengadakan mesyuarat khas secepat mungkin bagi membincangkan perkara berkenaan supaya penamatan kontrak Hasmawi dibuat mengikut prosedur.
Tambah Akmal, dia juga yakin Hasmawi akan tampil memberi penjelasan kepada pihak pengurusan berhubung kes beliau sebagai jalan terbaik untuk dia kekal bersama Kedah.
Menurutnya, Hasmawi yang didakwa `menghilangkan diri' sejurus tersiar laporan pembatalan saat akhir pernikahannya, sebenarnya tidak sengaja berdiam diri.
``Saya yakin dia tidak melarikan dari tanggungjawab atas apa yang berlaku cuma rasa rasa buat masa ini dia mahu menenangkan fikiran.
``Saya yakin dia akan menyelesaikan masalah peribadinya dalam sedikit masa lagi juga dengan pihak pengurusan Kedah,'' katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan