Isnin, 29 Mei 2017

Debaran Perdana kian terasa

ARKIB : 06/05/2005 
Oleh AMRAN MULUP
Penyerang Kedah, Akmal Rizal Ahmad Rakhli (depan) berusaha melepasi kawalan salah seorang pemain pertahanan Kuala Lumpur dalam aksi Kumpulan A, Liga Perdana di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras kelmarin yang berkesudahan seri 1-1. - Gambar Nazudeen Mahmud.


KUALA LUMPUR - Baki dua perlawanan untuk menamatkan aksi pusingan kedua sampai ke penghujung, menyaksikan persaingan merebut dua gelaran juara Liga Perdana Kumpulan A dan B semakin mendebarkan.

Ketika tumpuan pada mulanya diberikan kepada Selangor, Kedah, Kuala Lumpur, Terengganu dan Negeri Sembilan, dua pasukan berstatus kelab MK Land dan PKNS kian mencerahkan peluang untuk merebut gelaran juara liga.

Kedua-dua pasukan itu terus mencuri perhatian apabila masing-masing menduduki dua kedudukan teratas kumpulan tersebut.

MK Land yang merampas tampuk sebagai pendahulu Kumpulan A daripada Selangor Ahad lalu, terus kekal dengan kelebihan satu mata walaupun terpaksa berhempas pulas menewaskan Melaka 1-0.

Kemenangan tipis hasil jaringan penyerangnya Marlon Alex James pada minit ke-46, memastikan MK Land memungut 29 mata.

Mengekori rapat ialah Selangor yang tewas 1-4 kepada Kedah Ahad lalu, bangkit melaungkan amaran apabila membelasah NTFA 5-1 di tempat lawan.

Dua gol masing-masing menerusi Muhammad Khalid Jamlus (m-14, m-85), Bambang Pamungkas (m-87, m-89) dan Brian Fuentes (m-44), memastikan Selangor terus kekal di tangga kedua dengan 28 mata.

Kemenangan milik skuad Merah Kuning memastikan mereka tidak ketinggalan jauh daripada MK Land dalam usaha untuk merampas kembali takhta Kumpulan A.

Bagaimanapun, Kedah gagal meneruskan aksi cemerlang apabila sekadar seri 1-1 dengan Kuala Lumpur untuk kekal di tangga ketiga.

Peluang terhidang baik buat Kedah membuka tirai jaringan pertama menerusi Gabriel Mendez (m-35) tetapi kealpaan benteng pertahanan membolehkan Muhammad Zamri Hassan menyamakan kedudukan 1-1, ketika baki perlawanan 11 minit hendak ditamatkan.

Bagaimanapun, Kedah menjadi satu-satunya pasukan yang masih mengekalkan rekod bersih tanpa kalah selepas melalui 12 perlawanan setakat ini dan berada di tangga ketiga dengan 26 mata.

Sementara itu Kuala Lumpur berada di tempat keempat diikuti oleh Brunei (5), NTFA (6), Melaka (7) dan TNB (8).

Sementara itu dalam Kumpulan B pula, Terengganu kembali merampas kedudukan teratas selepas menewaskan Negeri Sembilan 2-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi.

Tidak sampai seminggu Negeri Sembilan merampas tampuk itu daripada Terengganu, ledakkan jaringan Zairo Anuar Zailani (m-18) dan Dos Santos (m-60) sudah cukup mengembalikan skuad Penyu di persada teratas.

Kekalahan Negeri Sembilan di tempat sendiri membolehkan PKNS berada di tangga kedua liga selepas memahatkan kemenangan ketujuh berturut-turut menewaskan Johor 4-2.

Persembahan cemerlang PKNS jelas memberi tekanan kepada skuad Penyu dan Negeri Sembilan dengan baki dua perlawanan menamatkan saingan pusingan kedua.

PKNS ketinggalan hanya tiga mata berbanding Terengganu selaku pendahulu Kumpulan B manakala Negeri Sembilan pula di tangga ketiga dengan memungut 22 mata.

Buat Johor FC, Sarawak, Jenderata, Johor dan PDRM masing-masing sekadar mempertahankan kedudukan untuk mengelak daripada terjerumus ke Piala FAM musim depan.

PDRM yang sekadar memungut dua mata daripada 12 perlawanan menduduki tangga terbawah, kian hampir disingkirkan musim depan.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0506&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4iSt1CfgZ
© Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 5 Mei 2017

Rafdi ikut langkah Akmal

ARKIB : 25/12/2004

MOHD. RAFDI RASHID (tengah) sewaktu bersama Akmal Rizal (kiri) dan Shariman Che Omar selepas aksi Kedah pada separuh akhir Piala Malaysia bulan lalu.


PEMAIN lincah Kedah, Rafdi Rashid yang dikenali sebagai `Abang Pendek' menjadi pemain kedua Hijau Kuning yang akan menyarung jersi Perak dalam Liga Malaysia musim akan datang.
Pengurus Pasukan, Datuk Jamal Nasir Rasdi berkata skuad Seladang tidak menawarkan sebarang bayaran lumayan bagi mendapatkan Rafdi. Selain itu katanya, Perak juga tidak memberi sebarang layanan istimewa kepada penyerang lincah berkenaan.
``Rafdi akan dilayan seperti pemain-pemain lain yang berhijrah ke negeri ini yang mana perlu menjalani ujian pemilihan dan sebagainya,'' jelas Jamal Nasir ketika ditemui di Ipoh semalam.
Rafdi yang digelar sebagai `Abang Pendek' oleh para penyokong Kejor Yeop Kejor kerana penyerang lincah tersebut pernah menyarung jersi Perak beberapa tahun lalu.
Penasihat pasukan Kedah, Datuk Ahmad Basri Akil mengesahkan bahawa Rafdi akan menyarung jersi Perak pada musim depan.
Ahmad Basri menyatakan bahawa Kedah sudah melepaskan penyerang lincah itu tanpa sebarang syarat.
Sukan Utusan semalam melaporkan bahawa penyerang kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli akan menyarung jersi Perak setelah kontraknya dengan Kedah tamat.
Jamal Nasir menyatakan bahawa Akmal sudah menyatakan persetujuan untuk berpindah ke Ipoh dalam pertemuan baru-baru ini.
Mengenai Rafdi, Jamal Nasir menambah bahawa penyerang lincah itu begitu berminat menyarung jersi Seladang menyebabkannya bertindak berpindah ke sini walaupun tiada sebarang bayaran lumayan yang ditawarkan.
Skuad Seladang sudah tentu lega dengan kehadiran Rafdi kerana diharapkan dapat menguatkan barisan serangannya setelah ketiadaan Mohd Khalid Jamlus dan V. Saravanan.
Kedua-dua penyerang kebangsaan itu telah mengambil keputusan mengejutkan apabila bersetuju menyarung jersi Selangor pada musim depan.
Sementara itu, Rafdi mengakui bahawa beliau mengambil keputusan berpindah ke sini kerana begitu meminati corak permainan skuad Seladang.
Beliau menafikan bahawa Perak menawarkan tawaran yang lumayan menyebabkannya mengambil keputusan berhijrah ke sini.
``Saya pernah berjanji dengan Pengurus Pasukan untuk bersama-sama skuad Seladang sejak beberapa tahun lalu dan kini barulah dapat ditunaikan janji itu,'' jelas Rafdi.
Beliau percaya tidak akan menghadapi banyak masalah untuk membentuk kerjasama yang mantap dengan para pemain Seladang kerana pernah bermain bersama-sama beberapa tahun yang lalu.
Rafdi juga berharap memberi sumbangan yang bermakna kelak dan sekaligus membantu skuad Seladang mencapai menjulang kejayaan pada musim depan.

Akmal lari ke Perak

ARKIB : 24/12/2004

PENYERANG kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli bakal menyarung jersi Perak musim depan dan akan mengikat kontrak dengan Persatuan Bola Sepak Perak (PFA) selepas kontraknya dengan Kedah tamat hujung bulan ini.
Pengurus Perak, Datuk Jamal Nasir Rasdi berkata, Akmal sudah menyatakan persetujuan untuk menyarung jersi skuad Seladang ketika pertemuan antara beliau dengan pemain itu baru-baru ini.
PFA, kata Jamal, akan membayar gaji Akmal dengan jumlah yang serupa dengan pemain import Perak jika penyerang berusia 23 tahun itu bersetuju ke Ipoh.
``Jika tiada aral, kita akan dapat khidmat Akmal musim depan. Saya cuma harap KFA (Persatuan Bola Sepak Kedah) melepaskan beliau selepas kontraknya tamat,'' katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Jamal berkata, penyerang hebat seperti Akmal diperlukan oleh Perak untuk memperkuatkan barisan serangan skuad Seladang bagi mengharungi kejohanan antarabangsa yang disertai Perak musim depan iaitu Liga Juara-Juara Asia.
``Kita perlukan penyerang bertaraf bintang untuk mengimbangi kehebatan kelab luar lain apabila bertanding di peringkat antarabangsa seperti Liga Juara-Juara Asia.
``Akmal adalah penyerang terbaik di Malaysia ketika ini dan sudah tentu ia memberi satu semangat tinggi kepada pasukan apabila kami turun menentang sesiapa sahaja,'' katanya.
Akmal kini sedang berehat selepas menjalani pembedahan buku lali. Dia terlepas beraksi untuk Kedah pada perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Perlis 4 Disember lepas.
Kempen Piala Tiger 2004 yang sedang berlangsung turut gagal menggunakan khidmat penyerang licik itu.
Dalam kempen Liga Super musim ini, Akmal muncul penjaring kedua terbanyak untuk Kedah dengan tujuh gol di belakang penyerang import Kenari, Marcos Magno yang menjaringkan 11 gol.
Kedah bagaimanapun gagal mengekalkan kedudukan dalam Liga Super apabila menamatkan kempen di tangga tercorot dan tersingkir ke Liga Perdana.
Kenari hanya mencatat empat kemenangan, tiga seri dan 14 tewas daripada keseluruhan 21 perlawanan.
Begitupun, Kedah bermain cemerlang dalam Piala Malaysia sehingga mara ke akhir sebelum tunduk kepada Perlis.
Selain Akmal, seorang lagi penyerang Kedah, Rafdi Rashid turut berhijrah ke Perak musim depan.
Perak kehilangan penyerang yang juga penjaring terbanyak Liga Perdana Satu musim lepas, Khalid Jamlus yang berhijrah ke Selangor.
Selain itu seorang lagi penyerangnya, V. Saravanan turut dikatakan bakal berhijrah ke pasukan lain musim depan.

Beri Hasmawi peluang - Akmal

ARKIB : 23/12/2004

RAKAN sepasukan Hasmawi Hassan, Akmal Rizal Rakhli berharap Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) memberi peluang kepada penyerang muda itu membela diri sebelum membuat keputusan menggugurkannya.
Akmal yang terkejut dengan laporan KFA menggugurkan Hasmawi kelmarin selepas pemain itu membatalkan pernikahan dengan tunangnya, Norlida Abdul Rahman, 23, melalui SMS baru-baru ini berkata, masalah Hasmawi bersifat peribadi.
Lagipun katanya, masalah yang dicetuskan pemain berusia 23 tahun itu tidak melibatkan disiplin dalam pasukan apatah lagi ia berlaku ketika rehat Liga Bola Sepak Malaysia.
``Kedah bakal kehilangan seorang pemain muda berbakat yang sedang meningkat naik.
``Hasmawi seorang pemain yang berdisiplin dan saya menyokong penuh supaya terus kekal.
``Saya berharap PFA meneliti semula keputusan tersebut yang pada pandangan saya dibuat secara tergesa-gesa tanpa memberi peluang Hasmawi menerangkan perkara yang sebenar.
``Sedangkan pada saya masalah tersebut boleh diselesaikan kedua-dua pihak menerusi perbincangan,'' katanya ketika dihubungi semalam.
Kelmarin Timbalan Presiden KFA, Datuk Chong Itt Chew berkata pihaknya setuju sebulat suara menamatkan kontrak penyerang itu sebagai amaran kepada pemain lain bahawa KFA tidak bertolak ansur sekali pun membabitkan soal peribadi jika ia boleh menjejaskan imej pasukan.
Keputusan diambil setelah Hasmawi membatalkan pernikahan dengan tunangnya menerusi SMS Norlida, 19 jam sebelum majlis pernikahan mereka Sabtu lalu.
KFA akan mengadakan mesyuarat khas secepat mungkin bagi membincangkan perkara berkenaan supaya penamatan kontrak Hasmawi dibuat mengikut prosedur.
Tambah Akmal, dia juga yakin Hasmawi akan tampil memberi penjelasan kepada pihak pengurusan berhubung kes beliau sebagai jalan terbaik untuk dia kekal bersama Kedah.
Menurutnya, Hasmawi yang didakwa `menghilangkan diri' sejurus tersiar laporan pembatalan saat akhir pernikahannya, sebenarnya tidak sengaja berdiam diri.
``Saya yakin dia tidak melarikan dari tanggungjawab atas apa yang berlaku cuma rasa rasa buat masa ini dia mahu menenangkan fikiran.
``Saya yakin dia akan menyelesaikan masalah peribadinya dalam sedikit masa lagi juga dengan pihak pengurusan Kedah,'' katanya.

Isnin, 1 Mei 2017

Bawa pulang Piala Malaysia - Kedah bukan main-main

ARKIB : 01/12/2004
TIADA `ihsan' buat Perlis sekalipun lawan mereka di perlawanan akhir Piala Malaysia Sabtu ini, Kedah disifatkan abang kepada pasukan Singa Utara itu, demikian pendapat penyerang sensasi, Akmal Rizal Rakhili.
Akmal yang terpaksa melupakan hasrat membantu Kedah dalam perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini kerana kecederaan buku lali kanan, percaya Kedah tetap menganggap Perlis sebagai `seteru' di perlawanan akhir kelak.
Katanya, tiada istilah `belas ihsan' dalam bola sepak sekalipun Perlis adalah pasukan jiran.
Sebaliknya, kata Akmal, Kedah berazam untuk membawa semula Piala Malaysia ke negeri Jelapang Padi itu.
``Sekalipun Kedah dan Perlis adalah pasukan jiran, pertemuan kedua-dua pasukan dalam saingan liga sentiasa sengit.
``Itulah yang saya jangkakan dalam perlawanan akhir Piala Malaysia edisi kali ini.
``Jika Perlis mahukan Piala Malaysia kerana mereka belum pernah memenanginya, Kedah pula cukup bersemangat kerana para pemain muda dalam pasukan juga belum pernah menjulang kejuaraan tersebut.
``Saya percaya perlawanan akhir kali ini begitu menarik dan pasukan yang kurang melakukan kesilapan akan muncul juara,'' katanya.
Gol jaringan pemain tengah, Mohd. Khairul Ismail pada minit ke 69 membuka laluan kepada Kedah menewaskan Sabah 1-0 dalam pertembungan separuh akhir, Sabtu lalu.
Akmal, 23, tonggak Kedah tidak beraksi sejak suku akhir Piala Malaysia akibat kecederaan buku lali kanan yang menyebabkan ia terpaksa dibedah.
Penyerang kebangsaan itu terpaksa berehat sehingga awal tahun depan sebelum boleh kembali beraksi.
Akmal tetap yakin Kedah bakal mengembalikan kegemilangan era 80 an dengan memenangi Piala Malaysia kali ini.
Menurutnya, tiada siapa yang menduga Kedah yang terumbang-ambing dalam saingan Liga Super mampu bangkit dalam kempen Piala Malaysia setelah mendapat sentuhan jurulatih, Mohd. Azraai Khor Abdullah.
Lantaran itu, katanya, rekod tiga kemenangan Perlis dalam saingan liga tidak boleh dijadikan ukuran keupayaan Kedah dalam perlawanan akhir kelak.
``Kedah sebelum dan selepas kempen Piala Malaysia adalah satu pasukan yang cukup berbeza. Kedah membuktikan mereka bangkit dari kelesuan saingan liga dengan mara ke akhir Piala Malaysia.
``Kejayaan Perlis menundukkan Kedah dalam ketiga-tiga perlawanan liga bukan lagi ukuran sebaliknya ia mampu diubah di perlawanan akhir kelak,'' katanya.