Sabtu, 8 April 2017

Akmal, Rajan bawa sinar



ARKIB : 01/12/2003
Daripada MOHD. TAUFEK RAZAK

GANDINGAN Akmal Rizal Rakhli dan K. Rajan memberi sinar baru buat jentera serangan skuad bola sepak Sukan SEA negara dan jurulatih kebangsaan, Allan Harris.

Ketika puas memerah otak untuk mencari gandingan mantap Akmal di barisan depan, pencarian Harris sudah boleh dianggap berakhir jika persembahan dua pemain itu ketika menewaskan Kemboja 8-1 kelmarin dijadikan asas.

Ini kerana, kelincahan dan persefahaman kedua-dua pemain ini menunjukkan peningkatan ketara dan Harris sendiri mengakui lega dengan perkembangan positif itu.

``Seperti yang telah beberapa kali saya katakan, sentuhan penyudah serta skil menjaringkan gol yang dimiliki Akmal memang baik tetapi gandingan mantap bersama Rajan sesuatu yang melegakan saya.

``Cuma saya berharap, Rajan dapat mengekalkan prestasinya yang sering tidak konsisten dari satu perlawanan ke satu perlawanan. Rajan perlu lebih agresif.

``Ini kerana, berdepan dengan Singapura pada 3 Disember ini lebih sukar berbanding menentang Kemboja. Saya harap, Rajan dapat mengatasinya,'' jelas Harris.

Akmal mencipta hatrik pada perlawanan menentang Kemboja kelmarin manakala Rajan menjaringkan dua gol di samping menjadi penggerak kepada kebanyakan gol yang dicipta Malaysia dalam perlawanan itu.

Harris juga, pada perlawanan pertama itu turut mencuba gandingan baru dengan menurunkan Haris Safwan Kamal menggantikan Fadzli Saari untuk berganding dengan Akmal di babak kedua.

Namun Haris Safwan yang kurang pengalaman di peringkat antarabangsa sering hilang punca dan gagal membaca pergerakan rakan.

Bagaimanapun hanya mengharapkan gandingan Akmal dan Rajan untuk menghadapi dua perlawanan penting menentang Singapura dan Myanmar (6 Disember) nanti bukanlah langkah bijak.

Setakat ini, Harris masih mempunyai pilihan menurunkan Zainizam Marjan sebagai alternatif kepada Rajan, Fadzli dan Haris Safwan jika tiga pemain itu gagal menyinar.

Namun keupayaan Zainizam belum lagi dicuba manakala bahagian tengah jelas masih bergantung kepada Indra Putra Mahayuddin, Juzaili Samion dan Mohd. Mazuki Yusof manakala Rajan lebih berperanan menyerang dari tengah.

Jelas pengganti kepada Indra dan Mazuki iaitu Mohd. Amri Yahyah dan Mohd. Norhissham Hassan masih belum cukup matang.

Barisan pertahanan negara juga masih perlu diperkemaskan dengan ketua pasukan, Norhafiz Zamani Misbah perlu mengurangkan kesilapan manakala Abd. Aziz Ismail perlu bergerak lebih banyak.

Apa yang melegakan ialah prestasi pemain pertahanan kanan negara, Yosri Derma Raju yang menunjukkan permainan mantap walaupun baru pulih daripada kecederaan.

Selain mampu menjaringkan gol, Yosry kerap melakukan over lapping untuk membantu bahagian serangan. Begitu juga dengan Irwan Fadli Idrus.

Malaysia perlu menang ketika menentang Singapura jika mahu layak ke separuh akhir lebih awal tanpa menunggu perlawanan menentang Myanmar yang telah menewaskan Singapura 2-0, kelmarin.

Jika menang, Malaysia hanya perlu membuat penentuan dengan Myanmar untuk menentukan juara kumpulan sahaja tetapi jika tewas kepada Singapura, Malaysia tiada pilihan selain perlu menewaskan Myanmar untuk ke separuh akhir. - Utusan

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=1201&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4di7oyp00
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan