ARKIB : 15/05/2004
Keyakinan itu disuarakan bekas pemain Newcastle pada era 80-an, Lee Payne kepada agen pemain tersebut, Effendi Jagan Abdullah dan menyifatkan pemain Kedah berkenaan mempunyai kualiti yang diperlukan untuk beraksi dalam Liga Perdana England.
Menurut Effendi, Payne yang juga rakan kongsinya dan telah membawa ramai pemain luar ke negara itu, yakin Akmal akan menjadi `warga baru' dalam liga bola sepak negara tersebut.
``Dia telah melihat aksi lincah Akmal semasa bermain untuk Malaysia menentang Chelsea ketika kejohanan Liga Perdana Piala Asia tahun lepas melalui rakaman video.
``Walaupun Malaysia kalah dalam perlawanan itu, dia kagum kerana Akmal beberapa kali dengan mudah melepasi kawalan pertahanan tengah Chelsea, John Terry yang berpengalaman mengawal penyerang bertaraf dunia,'' katanya selepas bertemu Akmal di Shah Alam, semalam.
Malah, tambahnya, Payne menyatakan kemampuan dan susuk tubuh Akmal hampir menyamai bintang muda Everton dan England, Wayne Rooney yang terkenal dengan gaya dan larian kencang.
``Itu adalah pandangannya sebagai seorang agen berpengalaman dan profesional. Dia tidak akan berselindung atau memberi komen yang berlapik.
``Tetapi masih terlalu awal untuk bercakap tentang peluang Akmal kerana dia juga perlu meningkatkan lagi kemahirannya,'' ujarnya.
Pemain Kedah itu berpeluang bermain di England selepas juara Divisyen Satu, Norwich City bersetuju untuk menilai persembahannya pada sesi ujian yang akan diadakan Julai depan.
Ia akan diadakan sama ada di kelab itu di Norwich atau semasa mereka mengadakan dua perlawanan persahabatan di Malaysia yang dijadual pada Julai depan.
Sementara itu, Akmal gembira kerana mendapat peluang untuk menjalani ujian dengan Norwich City dan mahu melakukan yang terbaik bagi merebut tempat dalam kelab yang dikenali dengan gelaran `Kenari' itu.
Menurut Akmal, dia tidak pernah melupakan hasrat untuk bermain di luar negara selepas berlatih dan bermain dalam liga Perancis kira-kira dua tahun lalu.
``Saya akan menunjukkan persembahan terbaik semasa ujian nanti dan berharap ia akan membuka laluan saya untuk meningkatkan kerjaya bola sepak di luar negara,'' ujarnya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0515&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4eu22dxkG
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan