Oleh Mohd. Hazli Hassan
Jurulatih kebangsaan Allan Harris sempat berkata sesuatu
pada Akmal Rizal sambil diperhatikan oleh pasangannya, Shahira Tajuddin
pada majlis meraikan persandingan mereka di rumah pengantin perempuan,
di Presint 8, Putrajaya semalam. PENYERANG bola sepak kebangsaan, Akmal Rizal Rakhli mempercepatkan
tarikh perkahwinannya dua bulan lebih awal demi memberi tumpuan kepada
ujian untuk menyertai kelab Liga Perdana England, Norwich City Julai
ini.
Akmal, 22, yang sepatutnya bersanding Ogos ini, melangsungkan
perkahwinannya di rumah pengantin perempuan, Shahira Tajuddin, 20, di
Presint 8, Putrajaya, semalam.
Turut hadir pada majlis persandingan itu ialah, Naib Presiden,
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad,
jurulatih bola sepak kebangsaan, Allan Harris dan beberapa pemain bola
sepak skuad kebangsaan.
Akmal yang ditemui berkata, walaupun sudah berkahwin dia tidak
mempunyai masalah untuk beraksi dan berjanji akan meningkatkan kemahiran
sedia ada.
``Saya bernasib baik, Shahira sering memberi dorongan dan memahami
kerjaya saya dan itu membuatkan saya lebih bersemangat untuk beraksi dan
ingin membantu memperbaiki kedudukan pasukan Kedah dalam Liga Super,''
katanya.
Sementara itu, Akmal berkemungkinan akan ditawarkan ke beberapa kelab
di England selain Norwich City dalam tempoh terdekat ini bagi
membolehkan pemain itu mengembangkan bakat dan kemampuannya di Liga
England.
Ejen syarikat yang bertanggungjawab dalam urusan itu, Effendi Jagan
Abdullah berkata, beliau telah menemui beberapa pengurus kelab di sana
bagi membolehkan Akmal menjalani ujian di kelab-kelab lain jika tidak
terpilih selepas menjalani ujian di Norwich City.
``Jika tiada halangan, kemungkinan Akmal akan dipanggil untuk
menjalani ujian dengan Norwich City bulan depan dan saya juga sedang
berusaha untuk membolehkan pemain itu menjalani ujian dengan beberapa
kelab perdana dan Divisyen Satu yang lain di England,'' katanya ketika
ditemui pada majlis perkahwinan pemain itu.
Akmal kini hanya menunggu masa yang sesuai untuk bergelar pemain Asia
Tenggara pertama bermain di Liga Perdana England bersama kelab Norwich
City yang dilatih Nigel Worthington, musim depan.
Akmal sebelum ini pernah menjalani latihan dan bermain bersama kelab
bahagian tiga Perancis, FC Haguenau dan berjaya menjaringkan 11 gol
sepanjang menyarung jersi kelab itu pada tahun 2001.
Dalam pada itu, Norwich City yang berjaya melangkah ke Liga Perdana
England (EPL) untuk musim akan datang ditaja oleh Proton dan anak
syarikat milik penuhnya, Kumpulan Lotus PLC musim 2003/04 dan berterusan
untuk tempoh tiga tahun.
Norwich City mengesahkan kedudukannya sebagai juara liga divisyen
satu England apabila ia menewaskan Preston 3-2 di gelanggang sendiri
pada 30 April lalu.
Mengulas lanjut, Effendi berkata, pihaknya berharap Proton dapat
meminta Norwich City memberi peluang kepada Akmal beraksi bersama kelab
Canaries itu.
``Apa pun kita mahu mereka mengambil Akmal berdasarkan pengalaman
dan bakat yang ada dan bukan disebabkan penajaan daripada Proton
sahaja,'' katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan