Jumaat, 17 Mac 2017

Di mana hilangnya Akmal Rizal- Harris

ARKIB : 04/06/2001
DI mana Akmal Rizal? Soalan ini bermain-main di kepala jurulatih bola sepak kebangsaan, Allan Harris ketika rakan-rakannya mula melaporkan diri ke kem latihan pusat bagi menghadapi Pestabola Merdeka, semalam.

Ketika ini, Harris masih belum mendengar sebarang berita mengenai penyerang kelahiran Kedah itu, yang sudah tamat kontrak berlatih sambil bermain dengan kelab Perancis, FC Haguenau.

``Saya sendiri tidak tahu di mana Akmal berada sekarang,'' kata Harris ketika dihubungi di Kelana Jaya, semalam.

``Saya tidak pasti sama ada dia sudah pulang ke sini atau masih berada di Perancis.''

Harris menyenaraikan Akmal Rizal Ahmad Rakhli ke dalam kumpulan 31 orang pelatih skuad Bawah 23 tahun negara yang mula berkampung di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam. Skuad senior negara pula berpengkalan di Shah Alam.

Harris bagaimanapun tidak risau dan akan meneruskan agenda menyediakan pasukannya. Latihan penuh akan bermula hari ini.

``Mungkin Akmal akan melapor diri lewat sedikit,'' katanya.

Harris sudah kehilangan pemain kelayakan Piala Dunia, Irwan Fadli Idrus yang menjalani pembedahan di buku lali.

Tetapi, rakan Akmal di FC Haguenau, Juzaili Samion dan dua pemain di SV Wehen, Jerman, Rudie Ramli dan Fadzli Shaari sah akan mengikuti latihan.

Tempoh seminggu pertama akan digunakan oleh Harris untuk meningkatkan semula kecergasan pemain-pemain yang kebanyakannya be-rehat sejak 26 Mei lalu, selepas tamat pusingan pertama Liga Perdana lalu. Latihan taktikal turut berada dalam perancangannya.

Bagaimanapun, latihan taktikal mungkin sukar dilaksanakan kerana tujuh pelatih dari skuad Selangor tidak akan melapor diri sebelum menamatkan kempen Piala FA.

Sementara itu, jurulatih skuad senior, Norizan Bakar berkata, beliau akan menyediakan pemain-pemainnya dengan corak latihan normal buat seminggu ini.

``Kami akan mengadakan perlawanan persahabatan dengan skuad Bawah 23 pada minggu kedua dan selepas itu kita akan lihat apa langkah seterusnya,'' kata beliau.

Kongsi Konten di :
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0604&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4be1NSNI0

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan