Rabu, 14 Disember 2016

Akhmal perjudi nasib di Eropah

ARKIB : 14/01/2000
DEMI mengejar cita-cita untuk mencipta nama di peringkat antarabangsa, bintang bola sepak remaja, Akhmal Rizal Ahmad Rakhli rela mengetepikan tawaran lumayan pasukan Pulau Pinang kerana berasa yakin masa depannya akan ditentukan di Eropah.

Akhmal, ketika ditemui di Petaling Jaya petang semalam berkata, buat sementara waktu dia terpaksa melupakan sebarang habuan besar untuk bermain dalam Liga Malaysia, sebaliknya perlu menyalurkan keseluruhan tumpuannya kepada usaha menambat hati para pengurus kelab terkenal Eropah.

''Pulau Pinang ada membuat tawaran kepada saya untuk menyarung jersi mereka musim ini, tetapi terpaksa saya tolak kerana cita-cita saya jauh lebih besar,'' katanya.

Pemain dari Kedah itu berlepas ke Perancis malam tadi bersama seorang lagi pemain berbakat besar, Muhamad Juzaili Samion untuk diuji kebolehan masing-masing oleh kelab bahagian satu, Strasbourg.

Mereka berdua akan memulakan latihan selama enam bulan bersama skuad remaja Strasbourg Ahad ini.

Jika bakat mereka memikat hati pengurus Strasbourg, maka sejarah baru bola sepak negara akan tercipta apabila buat kali pertama pemain Malaysia mengikat kontrak dengan kelab bahagian satu Eropah.

Akhmal berkata, dia tidak menghadapi masalah untuk menyesuaikan diri dengan keadaan di Perancis setelah menimba pengalaman selama enam minggu pada September 1997 dengan kelab paling dihormati di Jerman, Bayern Munich.

''Saya tidak risau dengan cabaran cuaca mahupun saingan pemain-pemain Eropah kerana yakin saya juga setanding dengan mereka,'' katanya.

''Saya juga beruntung kerana mempunyai ibu bapa yang turut meminati sukan bola sepak dan sentiasa memberi galakan dan sokongan kepada saya termasuk membuat keputusan untuk ke Perancis ini,'' jelasnya.

Walaupun akan menjalani ujian di Perancis, Akhmal bagaimanapun berharap dapat bermain dalam liga Sepanyol.

''Pemain-pemain dalam liga Sepanyol lebih banyak menggunakan kemahiran individu berbanding pemain-pemain Eropah lain,'' ujarnya.

Oleh: ABDUL JAILANI ABDULLAH

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0114&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4SpPGUi57 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan