WAN MOHD NOOR HAFIZ WAN MANSOR |
| 29 Ogos 2019

Akmal Rizal (kanan) memberikan
arahan kepada pemain-pemainnya pada separuh masa pertama perlawanan
persahabatan bertemu Liga Super Kedah sambil diperhatikan oleh Dr Ismail (tiga
dari kanan).
A A
ALOR SETAR - Kedah menyasarkan
untuk mara ke pentas final Piala Emas Raja-Raja (PERR) 2019 berdasarkan
persiapan rapi dan kelebihan selaku tuan rumah pada tahun ini.
Presiden Persatuan Bolasepak
Melayu Kedah (PBMK), Datuk Dr Ismail Salleh berkata, The Keris diperkuatkan
oleh pemain Piala Presiden Kedah, pemain Piala Belia Kedah dan pemain yang
dipilih dari Liga THB Kedah serta dibimbing Ketua Jurulatihnya, Akmal Rizal
Ahmad Rakhli.
Menurutnya, persiapan pada tahun
ini dilihat lebih bersedia berbanding tahun-tahun lalu dan pihaknya masih
mempunyai tempoh dua minggu lagi bagi memperkuatkan lagi pasukan mereka.
"Tahun ini kita mempunyai
masa yang panjang dan bersiap lebih awal untuk menilai setiap pemain untuk
diserapkan masuk ke dalam pasukan PBMK pada tahun 2019.
"Sebagai tuan rumah sudah
tentu menjadi kelebihan buat Kedah namun kita juga perlu bersedia lebih awal.
Tahun ini kami sasarkan untuk mara ke pentas final berdasarkan persiapan dan
kemampuan yang ditunjukkan oleh pemain.
"Selepas beberapa perlawanan
persahabatan yang dihadapi termasuk hari ini, kita sudah boleh menilai dan
menentukan pemain-pemain kesebelasan utama.
"Ada beberapa lagi
perlawanan persahabatan yang diaturkan sebelum kejohanan sebenar bermula pada
15 September," katanya kepada media selepas meninjau perlawanan
persahabatan di antara pasukannya dan pasukan Liga Super Kedah di Stadium
Sultan Abdul Halim, di sini hari ini.
Pada perlawanan tersebut, PBMK
tewas 4-0 namun bagi Dr Ismail, ia memberikan pendedahan yang berguna kepada
pemain-pemainnya yang majoritinya di bawah umur 25 tahun.
Tambahnya, PBMK menyeru peminat
seluruh Kedah terutamanya di daerah Kubang Pasu untuk sama-sama memberikan
sokongan kepada pasukan tersebut yang akan beraksi di Universiti Utara Malaysia
(UUM).
Kedah diundi dalam Kumpulan D
bersama Perak, Wilayah Persekutuan dan Perlis.
SUMBERArtikel Penuh :
https://www.sinarharian.com.my/article/45464/BERITA/Sukan/Kedah-sasar-ke-final-Piala-Emas-Raja-Raja-2019
© 2018 Hakcipta Terpelihara
Kumpulan Karangkraf